Sunday, April 4, 2010

Penginapan ala tentera di Port Dickson


SEREMBAN: Penginapan ala tentera di berek tentera atau ‘barrack stay’ adalah antara bentuk pengisian yang akan dilakukan bagi menjadikan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata aktiviti ala inap desa itu membolehkan orang ramai merasai sendiri kehidupan sebagai anggota tentera dengan menginap di bekas berek tentera berdekatan Muzium Tentera Darat. Katanya, ‘barrack stay’ antara tiga pendekatan akan dilaksanakan secara bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelancongan, kerajaan negeri serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), iaitu aspek pembangunan, kandungan dan acara.

"Kita mengenal pasti tidak kurang 10 premis di Port Dickson untuk diperbaiki dan dinaik taraf, termasuk Muzium Tentera Darat, dan juga akan mewujudkan boulevard (jalan utama yang luas) dari Muzium Tentera Darat hingga ke persimpangan lampu isyarat (di Jalan Pantai)," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelancongan, JPBD dan kerajaan negeri.

Port Dickson diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat kem tentera di situ, Oktober tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan untuk memajukan 10 premis berkenaan telah diperoleh dari Kerajaan Pusat yang dijangka mengambil masa hingga 24 bulan, dan antara yang akan dilakukan ialah memperkenalkan istiadat pertukaran pengawal pada hujung minggu sebagai antara pakej pelancongan.
"Kita akan mewujudkan acara mengikut kalendar pelancongan seperti perbarisan hormat sempena ulang tahun Tentera Darat atau tamat latihan anggota tentera.

"Penyelarasan akan dilakukan dengan Kementerian Pelancongan untuk mengadakan pertunjukan tatu antarabangsa dan sebagai permulaan membabitkan negara Asean untuk menarik pelancong serta mewujudkan rasa kecintaan terhadap acara tentera," katanya